Saturday, June 4, 2011





Emm... okeyh.. spti yg aq jnjikan... naahh ... bca niy...
Klu minat..>_< .. bacala dkat
 
http://langitilahi.com/2011/04/25/novel-hero-14-bertemu/

Smuanya mudah... dhujung jari sgalanya je..

~14~
-Bertemu-
Hujan lebat memukul Kotaraya Angsana. Kilat sabung menyabung bersama guruh menyempurna rencah. Beberapa negeri di Malaysia, sekitar Wilayah Tengah, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor telah dilanda hujan hampir dua hari tidak berhenti. Hanya tenang dengan renyai sahaja.
Namun Afam di dalam sut kekal tenang. Tetap berdiri di atas Menara Keimanan dengan gagah. Sedikit pun tidak terganggu dengan hujan dan menunjukkan tanda kesejukan. Sut Heronya mampu membuatkan tubuhnya sentiasa berada pada suhu normal tidak kira apa pun cuacanya. Bahkan jika dia mahu, dia boleh sahaja mengawal kadar suhu di dalam sut itu mengikut kesukaannya.
Di menara ini sekali lagi dia berdiri. Hakikatnya, sebelum ini Menara Keimanan bukan tempat kegemarannya. Ingatan kepada Ayah membuatkannya sakit walau hanya dengan memandang menara ini. Tetapi kini, dia seakan tenang berada di atas menara ini. Dia memang hendak mengenang ayah.
Dia cuba mengingati ayah yang membesarkannya. Dia tidak ingat bagaimana Ayah pada awal umurnya. Tetapi yang dia tahu, ayahnya adalah seorang yang amat sibuk. Jarang berada di rumah. Sepanjang dia mampu mengingat, ayahnya itu sudah tidak meluangkan banyak masa dengannya. Sekali-sekala sahaja berada dengannya. Itupun kala makan pagi sebelum ke sekolah.
Dia lebih rapat dengan Pak Arbi. Semenjak kecil, lelaki itulah yang berada di sisinya. Lelaki itu ditugaskan oleh Ayah agar mengajarnya Al-Quran, memastikannya membuat kerja rumah, dan pergi ke sekolah sebagai wakil Ayahnya. Ayah terlalu sibuk hingga tidak mampu memerhatikan kad laporannya yang cemerlang. Ayah terlalu sibuk hingga tiada masa mendengar kisah-kisahnya di sekolah. Ketiadaan Ayah di sisi membuatkannya dahaga. Dahagakan perhatian dan kasih sayang.
Walaupun Ibu banyak meluang masa dengannya, mengasihinya, menumpahkan kasih sayang kepadanya, dia merasa tidak cukup. Dia ingin Ayah memandangnya. Dia ingin Ayah memberikan lebih masa kepadanya.
Akhirnya dia memilih untuk menentang segala apa yang Ayah didikkan padanya. Dia berhenti membaca Al-Quran, kurang ajar dengan guru-guru di sekolah, membuli rakan-rakan, membantah hampir semua arahan Ayahnya. Pak Arbi yang lemah lembut, tidak mampu memarahinya. Ibu juga tidak mampu mengawalnya.
Hinggalah Ayah memerhatikannya. Tetapi tidak dengan apa yang dia kehendaki. Ayah merotannya, menyebatnya. Mengurungnya di bilik. Memotong wang saku. Memarahinya. Ayah hanya memandangnya begitu.
Membuatkan bencinya bertambah.
Dia tidak peduli apa yang Ayah lakukan lagi ketika itu. Ayah buat majlis membaca Al-Quran di rumah, dia kucar-kacirkan. Ayah jemput rakan-rakannya datang untuk berprogram, dia merosakkan suasanya. Dia pernah sahaja ingin membelasah Ayah dengan seni tempur yang diasuh oleh Pak Arbi. Tinggal apabila perkara itu diluahkan, wajah Pak Arbi berubah menjadi merah.
“Sekiranya Afam mahu gunakan itu, terpulang. Tetapi, jangan sangka Pak Arbi akan berdiam diri. Ilmu itu akan Pak Arbi lupuskan daripada Afam.”
“Bagaimana Pak Arbi mahu lupuskan daripada saya?”
“Patahkan kedua tangan dan kaki Afam.” Bicara Pak Arbi bersama mata yang besar dan wajah yang amat menggerunkan tanda keseriusannya ketika itu.
Pak Arbi sangat menghormati Ayah. Dan hingga hari ini, Afam tidak mengerti apa yang Ayah telah lakukan hingga Pak Arbi sanggup mentaati Ayah sedemikian rupa. Sanggup setia dengan hanya menjadi pembantu rumah walau selepas kematiannya. Lebih Afam tidak mengerti, sanggup menjaganya berbanding menyuruh Ayah menjaga anaknya sendiri.
Dia benci Ayah. Tetapi mengingati apa yang Mr Umayer ceritakan dahulu, juga dengan apa yang ditunjukkan Husna, lebih-lebih lagi apabila dia berkenalan dengan manusia seperti Tengku Saifullah, Saifullah, Irfan Hakimi dan Tengku Amiri, juga selepas dia meluahkan perasaannya pada Inspektor Ikhwan beberapa hari lepas dan apa yang dibicarakan kepadanya pada ketika itu, dia terasa Ayah bukanlah di tempat pesalah.
Ayah terpaksa memilih antara dua perkara besar. Akhirnya dia perlu memilih yang lebih besar.
Ummah.
“Aku rasa lemah.” Adunya kepada Inspektor Ikhwan. Jujur.
Inspektor Ikhwan mengangguk sambil pandangannya lepas ke hadapan.
“Kau hendak mentertawakan aku?”
Inspektor Ikhwan tersenyum sambil menggeleng. “Mustahil aku akan ketawakan kau.”
Dia menghela nafas. “Aku tidak pasti sampai bila aku boleh bertahan.” Langit malam dipandangnya.
“Kau keseorangan. Memang begitulah rasanya.” Inspektor Ikhwan mengungkit apa yang pernah disembangkan oleh mereka bersama Amiri.
“Kau juga berseorangan di dalam anggota polis, bukan?” Wajah Inspektor muda itu ditatap.
Senyuman Inspektor Ikhwan terkoyak.
“Dahulu, mungkin aku keseorangan. Tetapi sekarang, sekurang-kurangnya aku boleh mempercayai 100% ahli jabatan penyiasatan aku.”
“Maksudnya?”
“Kini, semua ahli jabatan aku telah mula mengikuti proses tarbiyah yang digerakkan oleh aku semenjak mula-mula berada dalam pasukan polis ini. Aku membina jambatan hati sesama mereka, menawan hati mereka, dan aku mencari siapakah yang berakhlak baik, pergi ke masjid, mempunyai ciri-ciri mulia dari segi peribadi, menjauhi perkara-perkara haram, dan perlahan-lahan aku tarik menjadi teman aku. Mula-mula hanya berdua. Kemudian kami laksanakan program untuk memproses pula yang lain. Perlahan-lahan, selama beberapa tahun, kini seluruh jabatan penyiasatan aku adalah sahabat-sahabat aku yang aku cinta dan kasihi. Kami sefikrah. Kami adalah ikhwah.”
Mata Afam di dalam sut membesar. Apakah itu? Gerak kerja apakah itu? Dia tidak mengerti. “Sebenarnya, kau sedang berkata apa?”
“Aku hendak nyatakan bahawa, aku tidak berseorangan. Campaklah aku di mana-mana pun. Allah ada bersama dengan aku. Selagi aku percaya dengan Allah SWT, dan percaya bahawa agamaNya adalah benar, maka menyebarkan agamaNya adalah tanggungjawab aku. Aku perlu menyusun strategi untuk menyebar luaskan agamaNya, mengajak manusia kembali kepada agamaNya. Maka, sekiranya aku adalah orang yang berhubungan denganNya, maka Allah akan memberikan aku kekuatanNya untuk menggerakkan kehidupan ini atas redhaNya. Aku hanya yakin dengan itu. Sebagai contoh, untuk dalam kes aku, Allah memberikan aku kejayaan dalam mengajak rakan-rakan sekerja aku.”
“Patutlah Tuan Tahir tidak senang dengan kau dan jabatan kau.” Dia mengungkit apa yang pernah diceritakan oleh Inspektor Ikhwan kepadanya, dalam salah satu perbualan mereka di atas bangunan ini.
“Manusia yang hendak memenuhkan poket sendiri dan manusia yang melaksanakan kerja dengan amanah kerana berhubungan dengan Allah, adalah berbeza. Orang-orang yang ada fikrah, punya tamayyuz.” Inspektor Ikhwan berbicara.
“Tamayyuz?” Dia tidak memahaminya.
“Perbezaan. Berbeza dari segi syakhsiah, peribadi, akhlak. Berbeza juga dari segi kepercayaan, keyakinan, keimanannya. Yalah, mana hendak sama orang yang beriman dengan orang yang tidak sempurna keimanannya, bukan?”
Dia sekadar mampu terpana mendengar bicara Inspektor Ikhwan. Kepercayaan ini, mengeluarkan Inspektor ini daripada kelemahan? Membuatkannya sentiasa tabah dan sentiasa bergerak mengejar matlamat?
Apakah yang aku pula ada untuk mencapai seperti itu?
Tiba-tiba dia terasa perisai pada bahunya disentuh. Dia mengangkat kepala, Inspektor Ikhwan sedang memandangnya bersama tangan yang melekat pada bahunya.
“Hero, pada Allah itulah kekuatan. Apabila kita serahkan diri kita kepadaNya, proses diri kita untuk memahami kehendakNya, kekuatan itu akan hadir pada kita.”
“Boleh aku tanya lagi?”
“Silakan, dengan senang hati.” Inspektor Ikhwan menjatuhkan tangannya.
“Mana kau dapat semua kefahaman ini?”
“Oh, aku ikut proses tarbiyah yang dijalankan oleh Badan Bukan Kerajaan bernama HALUAN.”
“Yang diasaskan oleh 10 Orang Jutawan Islam itu?” Dia sengaja bertanya, seakan dia tidak mengetahuinya. Padahal, maklumat itu sudah berada dalam genggamannya.
“Ya. Asalnya aku hanya remaja sahaja ketika itu. HALUAN giat menjalankan program-program kemasyarakatan, dan aku tertarik dengan akhlak-akhlak ahlinya. Kau mesti tidak percaya siapa yang membanting tulang menguruskan itu ini memastikan semuanya berjalan lancar ketika itu.”
“Siapa?”
“Datuk Amir Muiz.”
Nama itu membuatkan dia terdiam. Inspektor Ikhwan menyambung:
“Aku sangat kagum dengan akhlaknya. Walaupun dia adalah salah seorang pemimpin, tetapi dia bekerja mengalahkan anak-anak buahnya. Dia juga mengangkat barang, dia juga bertanya khabar, dia juga memerhatikan, dia seakan-akan berada di mana-mana.”
“Heh. Tetapi anaknya terabai.” Terpacul keluar ayat itu daripada mulutnya. Membuatkan Inspektor Ikhwan mengangkat sebelah kening. Perasan akan riak wajah Inspektor itu yang berubah, dia sekadar mendiamkan diri.
“Memang antara ujian yang akan dihadapi oleh mereka yang hendak menyelamatkan sesebuah ummah, adalah keseimbangan antara tugasnya dan keluarga. Datuk Amir Muiz adalah manusia biasa. Aku yakin dia telah berusaha sedaya upaya menjaga keluarganya. Aku dengar, dia memastikan isterinya mempunyai lebih banyak masa dengan anaknya. Itu adalah satu usaha yang menunjukkan dia tidak melupakan anaknya.”
Dia rasa terpukul mendengar pembelaan Inspektor Ikhwan. Apakah yang Inspektor ini tahu?
“Tetapi dia tetap meninggalkan anaknya. Bukankah anaknya itu satu perkara yang besar?” Suaranya sedikit meninggi. Sekali lagi wajah Inspektor Ikhwan penuh tanda tanya. Dia tidak peduli. Hatinya geram melihat ada yang membela ayahnya.
“Anak adalah besar. Ummah juga adalah besar. Tetapi sekarang ummah sedang rosak. Bukannya Datuk Amir Muiz tidak ambil peduli anaknya langsung. Dengan mengamanahkan kepada isterinya mendidik anaknya, itulah kadar kemampuan yang dia ada kerana tuntutan ummah kepadanya lebih besar. Kalau dia tidak menyelamatkan ummah, sebaik mana pun anaknya, anaknya membesar dalam suasana yang rosak. Itu lebih buruk. Sepatutnya, kita, dan anak Datuk Amir Muiz perlu melihat dari perspektif Datuk Amir Muiz juga. Bukan sekadar menghukumnya mengikut logik akal kita!” Inspektor Ikhwan pula meninggi suara. Sedikit emosi.
Dia seakan ditampar. Apa yang dinyatakan oleh Inspektor Ikhwan langsung tidak pernah terlintas pada fikirannya.
“Itupun, Datuk Amir Muiz melaksanakan kerja ini berkumpulan. Dia faham bahawa kerja-kerja untuk mengislah ummah ini berat. Tetapi hatta dia buat kerja ini secara berkumpulan pun, untuk membangunkan satu generasi yang mampu bergerak seperti satu bangunan yang utuh bukannya mudah. Dia terpaksa korbankan tidurnya, masanya, hartanya. Ditambah pula dia menguruskan syarikatnya, memantau pula keluarganya. Apakah kau ingat ini perkara yang mudah? Kau sepatutnya mengetahui itu lebih dari orang lain, Hero.” Inspektor Ikhwan menyentuh lagi bahunya.
Dia mati bicara. Ayah.
“Maaf, meninggikan suara pada kau tadi. Aku bukan apa, Datuk Amir Muiz itu, pada aku…” Bahunya digosok-gosok lembut oleh Inspektor Ikhwan. Kata-kata inspektor itu yang terhenti membuatkan dia mengangkatkepalanya memandang semula inspektor itu.
“Datuk Amir Muiz itu apa?”
“Dia dan rakan-rakannya, pada aku, adalah Hero aku.” Inspektor Ikhwan tersenyum bangga.
“Hero?”
“Ya. Kau Hero kepada Kotaraya Angsana, kerana kau berusaha menyelamatkan negeri ini daripada penjenayah. Datuk Amir Muiz dan rakan-rakannya, dia menyelamatkan aku dari kegelapan dunia, kepada keterangan cahaya akhirat.”
Bicara itu membuatkan dia teringat akan Husna. Hero.
“Hero, kau sepatutnya melihat semula diri.” Belakang tubuh Hero ditepuk lembut.
Lihat semula diri?
“Akun dan Tengku Amiri, insyaAllah sentiasa ada untuk membantu.” Inspektor Ikhwan bangun.
“Kau rasa, aku patut berkongsi teknologi ini kepada SEG?” Dia mendongak memandang kepada Inspektor Ikhwan.
Inspektor Ikhwan menggeleng. “Pertamanya, kau kena faham mengapa Tengku Amiri hendakkan kau bekerjasama dengan mereka.”
“Ingin teknologi yang canggih untuk menguatkan SEG?”
“Ingin segala kelebihan dan kebaikan itu, berada di tangan Islam dan menggunakannya ke arah apa-apa yang diredhai Allah. Itu tujuan utamanya.”
Dia terkesima. Jawapan yang tidak dijangka.
“Pulang dahulu. Sudah hampir Subuh.” Inspektor Ikhwan bergerak meninggalkannya.
Pada malam itu, pertama kali, dia yang ditinggalkan. Bila dia pulang ke rumah, satu kotak kecil sudah tersedia di atas katilnya. Bila dibuka, senaskhah Al-Quran indah menghias wajah. Dibuka muka surat pertama kitab langit itu.
“Semoga Allah Yang Maha Lembut, melembutkan hatimu, Semoga Allah Tuan Ketenangan, Menenangkan jiwamu, wahai suamiku. – isterimu, Husna”
Dinukilkan ayat di bawah tulisan itu.
“Ketahuilah dengan mengingati Allah itu, hati-hati akan menjadi tenang.” Surah Ar-Ra’d ayat 28.
Menitis air matanya ketika itu. Sekilas dia memandang umurnya. 24 tahun. Apakah yang telah dia lakukan sepanjang umurnya ini? Setenang manakah hidupnya? Dan bagaimanakah tahun hadapan? Bagaimanakah dua tahun lagi? Bagaimanakah tiga tahun lagi?
Allah…
Husna. Pak Arbi. Mr Umayer. Makcik Amirah. Inspektor Ikhwan. Tengku Amiri. Tengku Saifullah. Saifullah. Irfan Hakimi. Mereka itu boleh dikatakan manusia-manusia yang dididik oleh proses yang Ayah dan rakan-rakannya usahakan untuk dunia ini. Proses yang membina mereka menjadi manusia lain dari lain. Lain dari mereka yang mengaku diri mereka bertamadun seperti yang dikenalinya di Amerika Syarikat. Berbeza dengan dirinya yang dirasakan betul.
Mereka ada ketenangan.
Mereka ada kekuatan.
Dia?
Dia tiada apa-apa.
Afam menghela nafas di atas Menara Keimanan. Kembali ke alam realiti. Panjang dia melihat diri hari ini. Dan kini dia di sini. Berseorangan. Apakah yang akan berlaku kepadanya? Di manakah pengakhirannya?
Hujan lebat yang membasahinya seakan luahan perasaannya sendiri.
Afam mengetap bibir. Mengapa dia fikirkan semua ini? Mengapa?
Tiba-tiba, skrin pada sutnya mengesan sesuatu. Di tengah hujan lebat itu, terdapat satu pancaran cahaya naik ke langit sebelum hilang begitu sahaja. Pancaran itu dilepaskan tidak jauh dari arah utara Menara Keimanan.
Seakan berada dalam aturan, alat telekomunikasi antara Hero dan Inspektor Ikhwan berbunyi.
“Hero, ada masalah di Bank Besar Kotaraya Angsana!”
Tanpa berlengah, butnya dihidupkan, dan hujan dipancung dengan kelajuan pergerakannya.
Pada masa yang sama, hatinya mengesan sesuatu yang aneh.
Perasaan kurang senang.
Adakah kerana fikirannya yang berserabut tadi?
Tidak.
Seakan-akan perkara buruk akan berlaku.
*****
“Sudah dua hari Hujan tak berhenti langsung ya, Pak Arbi.” Husna yang sedang cekap memotong bawang bersuara.
“Em, kalau reda pun, reda dengan renyai. Tak berhenti menitis langsung.” Pak Arbi yang khusyuk membuang tulang daripada Ayam menjawab tanpa memandang.
“Rahmat atau bala ni?” Husna menarik pula bawang putih. Dihiris nipis.
“Kita tidak tahu urusan Allah, Husna. Kita doakan, semoga semuanya baik untuk kita. Kadangkala, buruk itu pun kemungkinan baik untuk kita. Allah sentiasa memberikan yang baik-baik sahaja, kalau kita mahu bermuhasabah dan meneliti.” Pak Arbi tersenyum dengan matanya tetap kekal pada Ayam.
Husna ketawa kecil. “Dengan Pak Arbi ini seronoklah. Macam-macam saya dapat. Macam dapat masuk usrah bergerak pula.”
“Islam itu indahkan, Husna? Sampai di dapur pun ada Islam.” Pak Arbi mula memotong Ayam menjadi cebisan kecil.
Husna mengangguk.
Ketika ini, kilat menyabung, diikuti guruh yang berdentum kuat. Bahu Husna terenjut terkejut.
“Subhanallah!” Pantas terkamit ayat itu pada bibirnya.
Pada masa yang sama, hati Pak Arbi terasa seperti ada sesuatu yang menyentuhnya.
Tiba-tiba, telefon bimbit di dalam saku Pak Arbi berbunyi. Segera Pak Arbi mengelap kedua belah tangannya pada apron yang tersangkut di tubuh, kemudian mengambil alat telekomunikasi itu.
“Assalamu’alaikum, Umayer.” Dia mengenalinya dari nama yang naik.
“Waalaikumussalam. Pak Arbi, televisyen segera. Mana-mana siaran pun tidak mengapa. Berita tergempar.” Mr Umayer bersuara pantas.
Pak Arbi bergegas menuju ke ruang tamu. Membuka televisyen. Berita tergempar. Apa yang didengarinya membuatkan dia terpaku di situ. Dua tangan di atas sofa tiga tempat duduk, menongkat tubuh.
“Kenapa Pak Arbi?” Husna menyengetkan kepala untuk memandang wajah Pak Arbi.
“Bank Besar kena rompak.  30 tawanan.” Matanya lekat pada televisyen. Kelihatan anggota polis dan SWAT sedang berada di luar kawasan Bank Besar.
“Astaghfirullah. Habis?”
“Kena tengoklah ni. Liputan langsung.” Pak Arbi serius. Hatinya rasa tidak sedap. Matanya melurut ke arah dadanya.
Apakah perasaan ini?
“Ah, Hero datang!” Husna separuh menjerit sambil menunjuk ke kaca televisyen. Pak Arbi mengangkat kepalanya spontan. Tetapi sudah terlambat untuk melihat Hero muncul. Perwira itu telah lesap. Yang tinggal hanyalah pecahan kaca tingkap gergasi di tingkat dua Bank Besar, bersama ulasan wartawan yang menceritakan kemasukan Hero.
“Kini, kami ingin memainkan rakaman yang dihantar oleh perompak yang bertanggungjawab.”
Apabila rakaman itu dimainkan, jiwa Pak Arbi seperti tersentap.
“Hahaha, hihihi, huhuhu.” Tuan punya suara memunculkan dirinya, dengan tawa psiko yang merisaukan.
Pak Arbi seakan mendapat jawapan akan makna perasaannya.
Afam!
“Husna, Pak Arbi nak masuk bilik dulu.”
“Eh, tak mahu ikuti liputan ini?”
“Pak Arbi ada benda nak diuruskan.” Pak Arbi bergegas menuju ke biliknya.
Husna kehairanan. Namun tidak dilayan sangat perasaan hairannya itu. Fokusnya kembali kepada kaca televisyen. Mendengar celoteh penjenayah bernama Akama itu.
“Malam ini, kami menyediakan persembahan menarik untuk anda semua. Tetapi malangnya, persembahan ini tertutup. Anda hanya akan melihat hasilnya sahaja. Hahaha, hihihi, huhuhu.”
“Gila.” Husna naik meluat melihat Akama.
Gaya penjenayah itu membuatkan Husna seperti hendak termuntah.
******
Inspektor Ikhwan baru sahaja tiba di tempat kejadian. Sempat dia mendongak memandang ruang kosong di tingkat dua. Dia pasti Hero sudah tiba. Tetapi dia tidak boleh bertenang. Kerana dia tahu siapa yang berada di dalam bank kini.
“Bagaimana keadaan terkini?” Satu suara yang tidak asing lagi menyapa dari belakang. Inspektor Ikhwan menoleh. Tengku Amiri datang bersama enam lagi ahli skuadnya.
“Akama buat kemunculan di televisyen.” Inspektor Ikhwan mengangkat PDAnya yang sedang memainkan berita tergempar.
“Adakah kita masih tidak punya maklumat berkenaan psiko itu?” Tengku Amiri menyilang tangan di dada, sambil memandang tempat masuk Hero.
“Pihak kami memang tidak mempunyai apa-apa data. Dia seperti tidak pernah wujud di dunia ini sebelum ini. SEG?” Inspektor Ikhwan memandang Tengku Amiri.
“Juga masih…” Tidak ada. Tetapi ayat itu tidak dapat disempurnakan apabila alat telekomunikasi di telinga Tengku Amiri bercahaya. Segera Tengku Amiri menekan alat itu.
“Amiri!”
“Zaman. Ada maklumatkah?” Zaman, atau nama sebenarnya Kamaruzzaman, merupakan sahabat Amiri yang kini bertindak khusus dalam bahagian penyiasatan bagi pihak SEG.
“Ada. Setelah disiasat, ada seorang ahli Kongsi Gelap Ryuken, menggunakan kod nama Oni. Oni ini jika diterjemahkan ke dalam bahasa melayu, membawa maksud Iblis atau Syaitan juga. Sama seperti Akama.”
“Adakah kita pasti itu adalah orang yang sama?”
“Kepastian 100% memang sukar didapati kerana Oni ini tidak banyak beraksi di khalayak. Tambahan, dia telah meninggalkan Ryuken beberapa tahun yang lalu. Dia lebih banyak bermain di sebalik tabir. Tetapi ini dapatlah dikaitkan sebagai similariti dengan Akama di Malaysia.”
“Jadi, lagi maklumat berkenaannya?”
“Satu sahaja yang diketahui.”
“Apa?”
“Dia sangat merbahaya. Boleh dikatakan, dia sangat dihormati oleh ketua Ryuken sendiri kerana kedasyatannya.”
“Dasyat dari segi?”
“Itu adalah belum kita perolehi.”
“Baik. Terima kasih Zaman. Apa-apa maklumat, sila hubungi aku segera.” Tengku Amiri mematikan alat telekomunikasinya.
“Ryuken.” Dia memandang Inspektor Ikhwan dan ahli skuadnya.
“Akama ini daripada Ryuken?”
“Boleh jadi. Dia memang amat hebat dalam menyembunyikan maklumatnya. Hatta Zaman pun tidak mampu mencari lebih banyak berkenaannya.”
“Tetapi, jika dia daripada Ryuken, bermakna…”
“Dia sangat merbahaya.” Orang Ryuken yang pernah Tengku Amiri bersemuka setakat ini adalah Khairul, rakan sekolahnya yang direkrut oleh kumpulan kongsi gelap itu sendiri. Ryuken adalah Kumpulan Kongsi Gelap yang bukan sekadar inginkan wang dan kekuasaan. Mereka sebenarnya ingin menawan dunia.
Mereka sangat licik dan sungguh strategis. Mampu mendiamkan diri selama beberapa tahun tanpa dikesan sesiapa, dan pada masa yang sama menyebar luaskan pengaruh dengan pantas. Kewujudan mereka hanya akan disedari selepas mereka membesar dan mereka sendiri mula bergerak secara terang-terangan.
Homurodama adalah contoh terbaik. Kini, kelihatannya Syaitan Bertopeng juga adalah yang mengikuti jejak langkah Ryuken. Mereka tidak bergerak semata-mata nama. Ahli kumpulan mereka, yang mengikuti kepercayaan mereka, boleh menggunakan apa sahaja nama.
Tetapi ideologi Ryuken adalah yang terpahat di hati mereka.
Bahaya.
SEG memang berurusan terus dengan mereka. Mencari setiap ahli mereka dan berusaha menghapuskan mereka. Sekiranya tidak dihapuskan, mereka adalah yang boleh membawa porak peranda kepada negara.
“Akama hari ini memang khas mencabar Hero.” Inspektor Ikhwan menghela nafas.
“Apa status SWAT?” Tengku Amiri mencekak pinggang, memandang ke arah anggota SWAT yang diketuai Inspektor Rama seperti sedang berbincang berdekatan dengan Van milik SWAT.
“Aku tidak rasa mereka menjumpai jalan untuk menyelamatkan tawanan.” Inspektor Ikhwan menghela nafas.
“Mengapa? Sukar?”
“Mungkin. Tambahan, Rama…” Inspektor Ikhwan mendekatkan bibirnya pada telinga Tengku Amiri.
Tengku Amiri mengangguk terhadap apa yang didengarinya.
“Jadi, Hero dalam bahaya.”
Hujan lebat terus membasahi bumi dan sesiapa yang berada di atasnya. Seakan-akan menyatakan bahawa apa pun tidak akan mampu menghentikan kekuasaanNya. Walau sebesar mana pun peristiwa yang berlaku di atas muka bumiNya.
*****
Hero menganalisa sekeliling.
Dia berjaya mengesan haba manusia. Dia bergerak berhati-hati dalam kegelapan. ‘Nightvision‘ sutnya digunakan dengan cekap. Dia pasti yang penjenayah bertanggungjawab menanti kehadirannya.
Ini adalah zaman dirinya diburu penjenayah. Mungkin ini adalah perangkap khas untuknya.
“Afam,” Suara Pak Arbi kedengaran.
“Ya, Pak Arbi.”
“Hati-ha..”
“Sentiasa, Pak Arbi. Sentiasa.” Afam pantas memotong.
“Tak, Pak Arbi nak beritahu yang penjenayahnya ialah…”
“Hero, Herokah itu?” Satu suara lain memotong suara Pak Arbi.
Spontan Hero menoleh ke arah suara itu.
Seorang lelaki, sedang tersenyum kepadanya dengan senyuman yang gila.
Mata Afam membesar.
Pertama kali bersemuka.
“Hahaha, hihihi, huhuhu.”
Apakah perasaan hatinya yang kurang enak tadi, adalah ini?
Atau yang dibawa bersama orang ini?

No comments:

Ikan gmok